Thursday, July 6, 2023

TENTANG DIA

 





Yaya Doe POV -

Dia bukan seorang yang sempurna, namun dia seorang jejaka yang terus berusaha menjadi lelaki versi terbaik untuk dirinya sendiri. Tanpa dia sedar, dia memberiku semangat untuk terus hidup dan belajar untuk menyayangi diriku sendiri. Tanpa dia sedar, jiwaku yang mati kembali hidup tenang di dalam ruang kama. Dia sering berkata dirinya malang kerana sering ditinggalkan. Adakah lukanya lebih besar dari lukaku? Mampukah aku membantu mengubatinya? Sebagaimana dia membantuku untuk terus kuat melawan sakit lukaku. Dan mampukah aku menjadi ketenangan untuk jiwanya yang kosong?

Tipu sekiranya hati ini tidak terpesona melihat kepribadian si dia. Namun mindaku jelas menentang sebarang tindakan di luar kawalan. Mindaku cuba menidakkan segala perasaan yang terbuku dihati namun renjana hati merayu agar mempercayainya buat kesekian kalinya. Ternyata renjana hati berjaya menggali cebisan aksara penglipur lara yang sudah 10 tahun diabaikan.

Saban hari diriku kembali terasa sesak menahan desakan manusia yang ingin  menyakiti hati. Mereka bertanya apa yang aku inginkan? Bagiku cukup seseorang yang memahamiku dan memberi ketenangan bagi jiwaku yang kacau bilau. Mereka berkata aku terlalu memilih dan cerewet dalam membuat keputusan hidup. Adakah bagi mereka alam perkahwinan itu suatu perkara yang remeh? Adakah itu menjadi suatu kelemahan atau kegagalan untuk ku sekiranya lambat untuk melangkah ke alam itu? 

Mungkin Tuhan memberi kami waktu bagi memperkuatkan lagi hati ini untuk melaluinya pada waktu yg tepat. Jadi aku tidak berputus asa mendoakan yang terbaik untuknya. Semoga dia juga terus bersemangat membantu orang yang memerlukan dan bekerja keras demi masa depan kami bersama. Hanya dia yang mampu membuatku tenang, selamat & nyaman. Sekiranya dia ikhlas ingin bersama dengan ku, sedarlah bahawa doaku akan selalu berada disetiap langkahnya.

With love & Hakuna Matata,

Yaya Doe